Input your search keywords and press Enter.

Mat Kelubi “Kapit” Dato Bahaman

Beberapa tahun selepas Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1836-1914) terpaksa menandatangani perjanjian pada tahun 1888 meminta British memberi perlindungan ke atas Pahang seperti mana perlindungan yang diberikan ke atas Perak, Selangor dan Sungai Ujong, Negeri Sembilan, pergolakan tercetus di Pahang.  Dalam gerakan menentang Inggeris, Mat Kelubi atau Mamat Kelubi ialah seorang pengikut setia Bahaman, Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau.

Kesetiaan Mat Kelubi bermula semasa Dato Bahaman, Orang Kaya Semantan, dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Besar Daerah dengan kuasa pentadbiran di Sungai Semantan, Temerloh hingga ke Jeram, Bentong. Bahaman telah melantik Mat Kelubi sebagai panglimanya sendiri. Dengan pelantikan itu, Mat Kelubi bertanggungjawab sebagai ‘Kapit’ (pengawal peribadi) kepada Dato Bahaman. Nama sebenar Mat Kelubi ialah Awang Ahmad dan dia merupakan anak saudara Tok Gajah.

Pada awal pergolakan di Pahang setelah kedatangan Inggeris, Mat Kelubi hampir membunuh seorang pegawai Inggeris yang terlibat dalam satu pergaduhan dengan Dato Bahaman pada Oktober 1891 ekoran  keengganan Bahaman membenarkan Inggeris membuka lombong bijih di Semantan. Bagaimanapun, tindakan Mat Kelubi itu dilarang oleh Bahaman yang tidak mahu persengketaan berlarutan.

Dalam buku Sejarah Pahang, Buyong Adil menjelaskan, pertempuran di Jeram Ampai mengorbankan 40 orang pengikut Dato Bahaman. Dalam perkelahian di Jeram Ampai itu, pihak Inggeris juga telah kehilangan seorang pegawai kanannya, Wise, yang terbunuh dan mayatnya dikebumikan di Pasir Tambang, Kuala Tembeling. Empat hari kemudian, semasa menaiki perahu di Sungai Tembeling bersama tiga orang pengikutnya pada 16 Jun 1894, Mat Kelubi pula telah diserang hendap oleh kumpulan pengikut Panglima Garang Yusof yang diupah oleh Inggeris.

Sungai Tembeling

Mat Kelubi terkena tembakan senapang. Dia terjun ke dalam sungai. Panglima Garang Yusof turut terjun ke dalam sungai dan menikam Mat Kelubi bertubi-tubi sehingga mati. Mat Kelubi terjatuh ke dalam sungai, kepalanya dikerat, manakala badannya tanpa kepala telah hanyut di Sungai Pahang lalu terdampar pada pasir di Pulau Dedari, Kampung Pedah, Jerantut.

Orang kampung yang menjumpai dan mengenali Mat Kelubi membawa mayatnya untuk dikebumikan di perkuburan Kampung Lama Pedah.  Menurut Jalaluddin, sehingga kini kubur datuknya itu terletak berhampiran tiang masjid kampung tersebut dengan ditandakan menggunakan nisan batu sungai.  Diceritakan kononnya selepas pertempuran pada 16 Jun 1894, kepala Mat Kelubi telah dibawa ke Lipis untuk ditunjukkan kepada Inggeris sebagai bukti telah dibunuh.

Hanya badan tanpa kepala yang dipercayai Mat Kelubi dikatakan ditanam di Masjid Kampung Pedah iaitu kuburnya sekarang.

sumber:Kosmo dan Jabatan Pelancongan Negeri Pahang

Leave a Reply