Input your search keywords and press Enter.

Warga Nigeria Didakwa Bunuh Jururawat Siti Kharina

M Update, 27/5/2019 – Seorang lelaki Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang mayatnya ditemui dalam sebuah unit kondominium dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, yang berkemeja dan seluar jeans sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho. Tertuduh dilihat hanya mendiamkan diri dan tunduk sepanjang prosiding yang bermula kira-kira jam 9.50 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Alowonle didakwa menyebabkan kematian Siti Kharina, 40, di Tower 1, Third Avenue Kondominium, Cyberjaya, di sini, antara jam 12.41 pagi, 9 Mei hingga 2.30 petang, pada 15 Mei lalu. Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan, memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia, telefon bimbit dan rakaman kamera litar tertutup. Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Siti Kharina, yang hilang sejak 8 Mei lalu ditemui meninggal dunia dengan kesan kelar di bahagian dada, dipercayai dibunuh dalam sebuah unit kondominium disewanya dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu. Mayatnya ditemui pemilik rumah sewa berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan seorang wanita warga Nigeria di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi, 16 Mei lalu sebelum menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan di Taman Sri Rampai, Setapak, sejam kemudian. Suspek lelaki warga Nigeria itu pula ditahan kira-kira jam 3.30 petang hari sama di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, Cheras.

Leave a Reply