M Update, 30/5/2019 – Tukang urut tradisional meninggal dunia ketika sedang menunggu untuk menunaikan solat Asar di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, semalam.
Dalam kejadian 4.30 petang, Razali Muhamad, 50, berasal dari Kampung Berangan, Tumpat ditemui tidak sedarkan diri ketika sedang berbaring di ruang legar masjid itu. Mayat dibawa Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, berdasarkan keterangan saksi sebelum kejadian lelaki itu dikatakan sedang berbual menggunakan telefon bimbitnya. Katanya, selepas itu, dia dilihat berbaring dengan meletakkan kepalanya di atas topi keledar. Tiba-tiba saksi nampak kepala mangsa jatuh dari topi keledarnya dan mengalami sesak nafas.
Saksi kemudian mendapatkan bantuan orang ramai di sekitar masjid dan selepas itu mendapati lelaki itu sudah tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke HRPZ II dan disahkan sudah meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada strok pendarahan serta tiada kesan unsur jenayah. Jenazah diserahkan kepada ibunya jam 12.50 tengah malam tadi untuk urusan pengebumian,” katanya. – HM Online