Input your search keywords and press Enter.

Harimau Malaya Terlalu Gagah Buat Timor Leste

M Update, 12/6/2019 – Harimau Malaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menerusi kemenangan 12-2 secara agregat mengatasi Timor Leste yang sekali lagi dijadikan ‘lauk’ pada perlawanan timbal balik playoff di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Selepas Safawi Rashid menyerlah pada perlawanan pertama, aksi kedua menjadi milik Shahrel Fikri Md Fauzi yang merakam hatrik untuk memastikan kejayaan kedua hasil kemenangan 5-1 itu.

Sepanjang 90 minit perlawanan, anak buah Tan Cheng Hoe nyata berada pada kelas lebih tinggi berbanding pemain lawan dan berjaya mendominasi hampir keseluruhan permainan sekali gus menceriakan kira-kira 12,000 penyokong yang hadir ke stadium.

Sekali pun ada tiga pertukaran pemain berbanding kesebelasan utama pada aksi pertama, Harimau Malaya bermula positif yang menyaksikan Shahrel Fikri membuka jaringan seawal minit ke-11 selepas menyempurnakan lorongan Akhyar Rashid.

Minit ke-17, Shahrel Fikri pantas membalas kepercayaan diberikan Cheng Hoe apabila meledak gol kedua negara, kali ini menerusi tandukan hasil sepakan sudut Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak. Kesilapan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim menjatuhkan Rufino Walter Gama menghadiahkan sepakan penalti buat Timor Leste, namun kaptennya, Joao Da Silva Freitas gagal melaksanakan tugas dengan baik apabila sepakannya berjaya dihalang.

Pada minit ke-37, skuad negara menambah jaringan ketiga menerusi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh. Sepuluh minit babak kedua bersambung, derita Timor Leste berterusan apabila Akhyar meledak gol keempat negara manakala pada minit ke-58, Shahrel Fikri melepaskan peluang untuk melengkapkan hatrik apabila gagal menyudahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, enam minit kemudian kekecewaan Shahrel Fikri terubat apabila penyerang Perak itu mengegar gawang lawan buat kali kelima sekali gus melengkapkan hatrik. Ketika skuad negara ghairah memburu gol tambahan, tanpa diduga Walter Gama meledak gol saguhati Timor Leste pada minit ke-72. – BH Online

Leave a Reply