Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Malaysia Di Luar Negara Tidak Boleh Disekat Pulang – Ismail Sabri

M Update, 29/12/2020 – Kerajaan tidak boleh menyekat rakyat Malaysia dari negara yang melaporkan strain baharu COVID-19 daripada pulang ke tanah air, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata itu adalah jaminan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Malah, ketika kes COVID-19 tinggi di India, rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan juga dibenarkan pulang, katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan menyekat kemasukan pengembara termasuk rakyat Malaysia dari negara yang merekodkan strain baharu COVID-19 seperti United Kingdom, Afrika Selatan dan Hong Kong. 

Ismail Sabri berkata bagaimanapun rakyat Malaysia  yang pulang dari negara terbabit  perlu menjalani kuarantin dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat. 

Beliau juga menegaskan hingga kini sempadan negara masih belum dibuka kepada pelancong asing.

Pada September lepas, kerajaan tidak membenarkan pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia dan senarai itu termasuk Afrika Selatan dan United Kingdom.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengenakan SOP lebih ketat bagi lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sekiranya mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati tahap pematuhan rakyat rendah.

“Jika rakyat gagal mematuhinya dan KKM berasakan perlu kembalikan SOP asal (seperti semasa PKP) iaitu lebih ketat, saya tidak menolak perkara itu berlaku (dilaksanakan),” katanya.

Ismail Sabri berkata KKM juga menjalankan pemantauan kepatuhan SOP setiap dua minggu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri.