Input your search keywords and press Enter.

Premis perniagaan sertai bantahan tolak undang-undang ekstradisi

M Update, 12/06/2019 – Kebanyakan premis perniagaan di sini, berjanji untuk menutup operasi selama sehari, sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan wilayah itu membenarkan proses ekstradisi ke China.

Terdahulu, pembangkang hari ini mengumumkan rancangan untuk mengadakan lebih banyak protes dan tunjuk perasaan bagi membantah rancangan kerajaan itu.

Baru-baru ini, wilayah yang terkenal sebagai hab kewangan itu dikejutkan perhimpunan besar-besaran, selepas orang ramai mendesak kerajaan membatalkan rancangan yang mendapat sokongan Beijing.

Perhimpunan itu disifatkan terbesar sejak bantahan menentang penyerahan Hong Kong kepada China pada 1997.

Sebahagian besar rakyat membantah rancangan itu, susulan kebimbangan mengenai sistem mahkamah di China yang sukar difahami, selain ia dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi Hong Kong sebagai hab perniagaan antarabangsa.

Sebelum ini, penganjur mendakwa perhimpunan pada Ahad lalu berjaya menarik lebih satu juta peserta.

Namun, jumlah itu gagal mendesak Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam daripada menarik balik atau menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu.

Malah, beliau memberi amaran kepada pembangkang kerana melakukan tindakan yang dianggapnya sebagai radikal.

Esok, penggubal undang-undang bakal memulakan sesi perbahasan rang undang-undang itu di Parlimen, yang didominasi oleh mereka yang setia kepada Beijing.

Menurut pegawai terbabit, keputusan undian akhir hanya akan diketahui selewat-lewatnya pada 20 Jun. – AFP

Leave a Reply