Input your search keywords and press Enter.

Taman Negara Kuala Koh Tidak Terjejas Dengan Penularan Radang Paru-paru

M Update, 12/6/2019 – Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang yang popular di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa, tidak terjejas berikutan penularan radang paru-paru yang merebak dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek ketika ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif, berkata setakat ini Taman Negara Kuala Koh yang terletak kira-kira satu kilometer (km) dari Kampung Kuala Koh, yang terjejas dengan penularan penyakit itu, masih selamat untuk dikunjungi.

Namun dalam masa yang sama kita menasihatkan pengunjung supaya mengambil langkah berjaga-jaga terutama membekalkan diri dengan alatan kesihatan seperti topeng muka dan cecair pembersih tangan untuk perlindungan,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini. Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lalu.

Untuk rekod, seramai 39,448 pengunjung dari dalam dan luar negara mengunjungi Taman Negara Kuala Koh bagi tempoh 2010 hingga 2018. Ady Ermanty Haniff berkata buat masa ini, Perhilitan tidak merancang untuk menutup Taman Negara Kuala Koh namun pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya jika mendapat arahan sedemikian.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hanya mengehadkan aktiviti keluar masuk ke kawasan terjejas dengan penularan penyakit berkenaan dan tidak membabitkan kawasan lain berdekatan perkampungan Orang Asli tersebut. Pihak kami turut dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Kelantan keadaan di kawasan perkampungan Orang Asli yang terlibat masih terkawal jadi tiada keperluan buat masa ini untuk menutup Taman Negara Kuala Koh kepada orang ramai,” katanya, sambil menambah, kemasukan pengunjung ke taman negara itu yang dibuka setiap hari dilihat tidak terjejas ekoran isu itu. – Bernama

Leave a Reply