M Update, 18/6/2019 – Seramai 10 kru bot nelayan dipercayai diculik berhampiran perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina, awal pagi tadi.
Dua bot dinaiki kru terbabit dipercayai berada di perairan Tambisan dalam perjalanan ke Semporna, sebelum didatangi kumpulan bersenjata yang menggunakan bot laju, kira-kira jam 2 pagi tadi. Bagaimanapun, setakat ini, identiti semua mangsa belum dapat dikenal pasti.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pihaknya masih mengenal pasti maklumat berkenaan dan setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak. Katanya, kejadian terbabit juga belum dapat disahkan sama ada berlaku dalam perairan negara ini atau di Filipina.
“Kita belum dapat sahkan (kejadian penculikan) dan tidak pasti ia berlaku di perairan sempadan mana,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi berkata, kejadian berkenaan belum dapat disahkan. Sementara itu, sumber BH memberitahu, difahamkan ada kejadian penculikan berlaku dan pasukan keselamatan dipercayai sudah pergi ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.- BH Online