M Update, 18/06/2019 – Kerajaan Kanada berkata semalam, pihaknya kini sedang berbincang dengan Malaysia untuk mengambil semula sisa plastik yang dieksport dari negara itu.
Akhir Mei lalu, kerajaan Malaysia berkata, ia akan memulangkan semula 3,000 tan sisa plastik ke 14 negara asal termasuk Kanada, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Perancis, Australia dan Britain.
Tidak dipastikan berapa banyak sisa plastik itu berasal dari Kanada.
“Kerajaan Kanada bekerja sama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi menangani mana-mana isu berkaitan penghantaran sisa dari Kanada ke Malaysia,” kata Jabatan Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca Kanada dalam satu kenyataan.
Kerajaan Kanada mencapai satu perjanjian bulan lalu dengan Filipina untuk mengambil balik sisa isi rumah yang dijangka tiba di negara itu akhir bulan ini.
Namun jabatan berkenaan menjelaskan, kapal yang membawa pulang sisa plastik dari Filipina tidak digunakan untuk mengambil semula sisa dari Malaysia.
Sisa negara luar mencetuskan ketegangan diplomatik sejak beberapa bulan lalu di Asia Tenggara. Filipina memanggil pulang diplomatnya ke Kanada pada Mei lalu berhubung sisa isi rumah yang dibuang secara haram dari Kanada yang tidak diambil semula selepas tarikh akhir ditetapkan. -Reuters