Input your search keywords and press Enter.

Lelaki NZ dipenjara 21 bulan kongsi video tembakan masjid

M Update, 18/06/2019 – Seorang lelaki New Zealand dihukum penjara 21 bulan hari ini kerana mengedarkan video langsung pembunuhan menggerunkan dua masjid Christchurch yang mengorbankan 51 penduduk Islam 15 Mac lalu, lapor media tempatan.

Philip Arps, 44, ditahan di Christchurch empat hari selepas serangan suspek bersenjata, Brenton Tarrant di dua masjid bandar South Island menyebabkan pembunuhan terburuk dalam sejarah moden New Zealand.

Arps mengaku bersalah atas dua tuduhan mengedarkan bahan tidak menyenangkan kerana berkongsi rakaman langsung di media sosial ketika serangan.

Mahkamah Daerah Christchurch mendengar, Arps mengedarkan rakaman itu kepada kira-kira 30 orang dan memiliki versi lain yang diubah untuk memasukkan imej sasaran tembakan dan ‘jumlah mangsa’, lapor akhbar New Zealand Herald.

“Ini adalah kesan jenayah kebencian terhadap penduduk Islam,” kata Hakim Stephen O’Driscoll.

Katanya, adalah ‘agak kejam’ berkongsi video itu beberapa hari selepas serangan apabila saudara mara masih menunggu berita orang tersayang.

Arps, seorang penyokong ketuanan kulit putih disabitkan pada 2016 kerana melakukan tindakan menghina apabila meletakkan kepala babi di Masjid Al Noor, satu daripada dua premis yang menjadi sasaran tembakan, lapor Newshub.

Tarrant, pengganas kulit putih dari Australia minggu lalu mengaku tidak bersalah atas tuduhan keganasan serta 51 tuduhan membunuh dan 40 cubaan membunuh. Tertuduh akan dibicarakan pada Mei tahun depan. -AFP

Leave a Reply