M Update, 19/6/2019 – Sejak dari dulu lagi aktiviti penyeludupan tidak pernah berkurang malah semakin menjadi-jadi. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mencatatkan 42 kes berkaitan penyeludupan barang kawalan sepanjang tahun ini.
Semua rampasan merangkumi barang kawalan bersubsidi, antaranya tepung gandum, gula, minyak masak dan petrol yang bernilai RM225,176 itu adalah hasil kerjasama beberapa agensi penguatkuasa lain.
Daripada jumlah itu, 22 kes dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM); Pasukan Gerakan Am (10); Polis Diraja Malaysia (enam); Agensi Keselamatan Sempadan (dua) dan masing-masing satu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kerjasama semua agensi terbabit dapat mengekang ketirisan barang kawalan, sekali gus merungkai masalah penyelewengan yang berlaku dalam pengagihan subsidi barangan keperluan asas kepada kumpulan sasar yang layak.
Sempadan Kelantan dengan Thailand sepanjang 191 kilometer bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Kalai, Jeli agak sukar dikawal, tambahan pula terdapat ratusan laluan tikus, namun beliau yakin dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa, penyeludupan dapat dikekang.
Sebab itulah kerjasama dengan agensi lain adalah strategi terbaik dalam menangani masalah penyeludupan dan tugasan itu kini dilihatnya semakin kuat dengan pembabitan PGA yang memulakan tugasan mereka pada 12 Jun 2019 lalu.
Sumber : Berita Harian