Input your search keywords and press Enter.

Penerbangan Pertama Jemaah Haji 4 Julai

M Update, 20/6/2019 – Jemaah haji Malaysia tahun ini akan berangkat ke Makkah dengan penerbangan pertama pada 4 Julai ini manakala perjalanan terakhir pada 4 Ogos.

Sehubungan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat, berkata pihaknya akan mula melaksanakan Kursus Perdana Haji secara berperingkat di 14 lokasi seluruh negara bermula 21 Jun hingga 29 Jun ini. Kursus Perdana Haji yang akan berlangsung selama dua hari satu malam adalah yang terakhir dianjurkan TH sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus haji dikendalikan TH di seluruh negara. Ia juga adalah sesi untuk TH memberi maklumat terkini kepada bakal haji, sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kuota rasmi jemaah haji Malaysia tahun ini ialah 30,200 orang, namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi memohon kuota tambahan sebanyak 10,000. Secara keseluruhan, seramai 640 petugas haji Malaysia akan bertugas sepanjang musim haji tahun ini, termasuk 255 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta doktor pakar yang akan berangkat secara berperingkat ke Makkah mulai 27 Jun depan.

Sementara itu, Zukri berkata, semua bakal haji tahun ini digesa hadir mengikuti Kursus Perdana Haji di negeri masing-masing bagi memastikan kesempurnaan ibadah, sekali gus memperoleh haji mabrur.

Kursus Perdana Haji akan diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Terengganu; Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Pengkalan Chepa, Kelantan; Masjid Bandar Dato’ Onn Johor Bahru, Johor; Dewan Wawasan Kubang Pasu, Jitra, Kedah dan Masjid Sultan Ahmad Shah 1 Kuantan, Pahang, pada 21 Jun hingga 22 Jun.

Selain itu, di Universiti Teknikal Melaka; Kompleks Universiti Sains Malaysia (USIM) Negeri Sembilan; Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh, Perak; Dewan Millennium Kepala Batas, Pulau Pinang; Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam, Selangor; MRSM Tun Fuad Stephens Sandakan, Sabah dan Masjid Sayidina Abu Bakar Kuala Perlis, Perlis (22 Jun-23 Jun).

Sementara itu, kursus di Masjid Darul Hana Petra Jaya, Kuching, Sarawak pula akan diadakan pada 29 Jun hingga 30 Jun. – BH Online

Leave a Reply