Input your search keywords and press Enter.

Belasah, Rompak Dalam MRT: Lelaki Dipenjara 18 Tahun

M Update, 21/6/2019 – Seorang pembaiki pendingin hawa dihukum penjara 18 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merompak dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengurus bank di dalam lif Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Februari lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap G Thinathayaalan, 26, selepas tertuduh selesai memberi keterangan membela diri berhubung kes itu yang tular dalam media sosial. Mahyon berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini,” katanya. Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 18 Februari lalu.

Tertuduh yang memakai baju-T hitam didakwa melakukan rompak dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM bank, dua kad kredit bank dan wang tunai RM400, di dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara pada jam 6.45 pagi 14 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat atas kesalahan merompak dilakukan tertuduh. Beliau berkata, hukuman itu sebagai pengajaran kepada tertuduh dan terhadap bakal pesalah laku. Kes ini menjadi tular dan mendapat perhatian masyarakat.

Tindakan tertuduh merompak secara kejam juga perlu diambil kira oleh mahkamah. Mangsa cedera di bahagian kepala, muka dan badan, malah kini masih trauma,” katanya. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.

Pada 14 Februari lalu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular melalui media sosial yang memaparkan seorang wanita dirompak dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara. Berdasarkan rakaman berdurasi 55 saat itu, mangsa membawa beg tangan dilihat masuk ke dalam lif diikuti seorang lelaki yang kemudian terus menyerang wanita berkenaan dengan menumbuknya di muka sehingga jatuh.

Leave a Reply