M Update, 21/06/2019 – Ratusan penduduk kembali membanjiri jalan raya di kota ini hari ini selepas kerajaan gagal menepati tarikh akhir ditetapkan penunjuk perasaan untuk menarik balik sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi kontroversi.
Penunjuk perasaan berbaju hitam, kebanyakannya pelajar berhimpun secara aman di luar pejabat kerajaan, meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa terhadap pemimpin Hong Kong, Carrie Lam yang memperkenal dan kemudian menunda rang undang-undang berkenaan selepas dibantah secara besar-besaran.
Rang undang-undang itu antara lain akan membenarkan suspek jenayah diekstradisi ke tanah besar China yang dikuasai Parti Komunis untuk dibicarakan.
“Kami memperjuangkan kebebasan kami. Kami mahu undang-undang itu ditarik balik, bukan ditunda.
“Kami akan berada di sini mungkin sehingga jam 10 malam ini. Jika kerajaan tidak memberi maklum balas, kami akan datang lagi,” kata pelajar sekolah tinggi, Chan Pak-lam, 17 di luar ibu pejabat kerajaan yang ditutup sementara hari ini.
Sejak dikembalikan kepada China pada 1997, Hong Kong berada di bawah pentadbiran ‘satu negara, dua sistem’, formula kebebasan yang tidak dinikmati di tanah besar termasuk kebebasan kehakiman. – Reuters