Input your search keywords and press Enter.

AES ragut 129 nyawa kanak-kanak di Bihar

M Update, 24/06/2019 –  Sekurang-kurangnya 129 kanak-kanak meninggal dunia akibat Sindrom Encefilitis Akut (AES) di bandar Muzaffarpur di negeri Bihar sejak penularan wabak itu awal bulan ini, kata pegawai kesihatan semalam.

Angka kematian akibat AES, demam yang menjejaskan sistem saraf pusat, bertambah dari 97 yang dilaporkan Isnin lalu dan pegawai perubatan dan kerajaan berhadapan kritikan memuncak kerana gagal menangani krisis di bandar yang dihuni hampir 350,000 penduduk itu.

AES, dikenali sebagai ‘demam otak’ disebabkan mana-mana satu daripada beberapa jenis virus.

Gejalanya termasuk demam panas, muntah dan, dalam kes lebih teruk, diserang sawan, lumpuh dan koma.

Bayi dan warga emas adalah golongan paling terdedah kepada penyakit itu.

“Saya menerima kemas kini terbaru pada tengah hari dan menurut laporan terkini diterima, 129 kanak-kanak maut setakat ini,” kata pegawai perubatan di Muzaffarpur, Shailesh Prasad Singh.

Punca sebenar AES tidak diketahui, walaupun majoriti pakar perubatan berkata ia ada kaitan dengan gelombang kepanasan melampau.

Sebahagian kajian menyalahkan toksik dalam laici, buah yang banyak ditaman di ladang seluruh Muzaffarpur.

Namun banyak keluarga memberitahu anak mereka tidak makan buah itu sejak beberapa minggu lalu.

Singh berkata, sepasukan pakar termasuk doktor, paramedik dan pegawai kerajaan lain bekerja tanpa henti untuk membendung AES, yang mengorbankan lebih 350 kanak-kanak dalam penularan sebelum ini di Bihar pada 2014. — Reuters

Leave a Reply