M Update, 26/6/2019 – Cadangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sedang dibincangkan antara Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Keputusan berkenaan akan dimuktamadkan sebelum dibawa ke Kabinet untuk tindakan susulan bagi membolehkan pelaksanaan dengan segera.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata perbincangan antara kementerian itu dengan MKN turut merangkumi proses menaik taraf aset strategik pasukan keselamatan di Pantai Timur Sabah.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah di atas pandangannya berhubung isu keselamatan yang seharusnya diberi perhatian serius berikutan beberapa siri kejadian penculikan. Proses ini termasuklah mewujudkan pangkalan keselamatan di Pantai Timur Sabah khususnya dan kawasan perairan yang berisiko,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Setakat ini apa yang boleh saya katakan, cadangan ini menjadi keutamaan dan sedang dalam perbincangan bersama antara Kementerian Pertahanan dan MKN,” katanya. Sebelum ini Shafie yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berharap penempatan anggota pasukan keselamatan dapat ditambah, terutama di daerah yang terdedah dengan risiko penculikan seperti di Lahad Datu yang terletak paling hampir dengan negara jiran, Filipina.