Input your search keywords and press Enter.

Warga Emas Dan Isteri Cedera Diragut

M Update, 26/6/2019 – Seorang warga emas dan isterinya cedera selepas diragut dua lelaki dalam kejadian di Kampung Keting, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, mangsa, Alias Awang, 64, mengalami cedera parah di bahagian lengan dan kaki kanannya, manakala isterinya, Rahimah Mat Hasan, 56, cedera di bahagian mulut. Kejadian berlaku tanpa diduga mangsa yang sedang menunggang motosikal Ex5 untuk pulang ke rumah di Kampung Pauh Lima, dekat sini. 

Menurut anak mangsa, Mohammad Ayub Alias, 35, ibu dan ayahnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mendengar kuliah agama di Pasar Selasa, Kampung Kedai Menanti di sini.

“Ayah dan ibu baru saja keluar kira-kira 50 meter dari Pasar Selasa dikatakan dikejar dua peragut yang menunggang motosikal dari arah Kedai Menanti ke Kampung Keting. Dua suspek tiba-tiba bertindak merampas beg yang diletakkan di atas riba ibu menyebabkan dia (Rahimah) jatuh dari motosikal dan cedera teruk. Bagaimanapun peragut terbabit gagal mendapatkan beg yang dipegang dengan kuat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Lima di sini malam tadi.

Ayub memberitahu, selepas terjatuh, salah seorang peragut masih cuba merampas beg milik ibunya, namun ibunya sempat memulas tali beg dan kebetulan penduduk kampung melalui jalan itu membantu menyebabkan dua suspek terus melarikan diri. Beliau berkata, ayahnya mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki kanan kini masih berada di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut. 

Manakala ibunya yang cedera di bahagian mulut dibenarkan pulang  selepas mendapatkan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Gunong. Anggota keluarga mangsa akan membuat laporan polis sebaik selesai mengurus rawatan bapanya yang akan mendapat rawatan lanjut di wad HRPZII. РKosmo Online

Leave a Reply