Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : PDRM Tahan 590 Individu Ingkar PKP

M Update, 20/01/2021 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 590 individu semalam, atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 553 orang dikompaun, 35 direman dan dua dijamin.

Beliau berkata, kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka membabitkan 188 individu, gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran diri dan pelanggan (75), tiada penjarakan fizikal (74), premisberoperasi lebih masa serta tanpa kebenaran (65) dan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (66).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Semalam, sebanyak 2,767 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM terdiri daripada 11,772 anggota melakukan 51,939 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP di seluruh negara.

“Sebanyak 3,491 pasar raya; 4,845 restoran, 1,482 kilang; 1,924 pasar awam dan tani; 3,399 bank; 559 pejabat kerajaan, 2,980 tempat ibadah serta 1,635 tempat riadah diperiksa,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, semalam.

Mengenai Ops Benteng kelmarin, Ismail Sabri berkata, lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, manakala 12 kenderaan darat dirampas.

“Sebanyak 445 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia membabitkan agensi keselamatan seperti PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat semalam membuka 278 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 141 kes sedang disiasat, 35 didakwa di mahkamah, 12 diberi notis amaran manakala baki kes diklasifikasi tiada tindakan lanjut (NFA).

“Bagi kes didakwa di mahkamah, 21 didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

“Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan COVID-19,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan kira-kira 23.5 juta penduduk atau 72.0 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia, masih belum mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020).

“Susulan pelaksanaan PKP, DOSM menyusun semula banci secara bersemuka dan membuka semula platform e-Census atau banci dalam talian sebagai usaha menyekat penularan COVID-19.

“Justeru, orang ramai yang belum buat pengisian banci diminta untuk mengisi segera maklumat banci secara dalam talian melalui www.mycensus.gov.my, dengan membekalkan maklumat betul bagi tujuan perancangan dan pembangunan negara di masa hadapan,” katanya.