Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Pemimpin Tidak Boleh Abai Penderitaan Rakyat

M Update, 27/6/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin di negara ini supaya sentiasa merasai penderitaan dihadapi rakyat, yang kadang-kala diabaikan.

Perdana Menteri berkata segelintir pemimpin terlalu terpisah dengan kehidupan rakyat kebanyakan sehingga menyebabkan penderitaan yang sepatutnya boleh diatasi, dibiarkan berterusan. Kadang-kala, apabila seorang pemimpin itu datang daripada golongan aristokrat, autokratik dan berketurunan diraja, mereka berkecenderungan untuk tidak memahami penderitaan orang biasa.

Keadaannya seperti kata-kata yang biasa disandarkan kepada Marie Antoinette (bekas Permaisuri Perancis), yang apabila dimaklumkan petani laparkan roti, beliau berkata, berikan mereka makan kek. Sama ada Antoinette mengatakannya atau tidak, isunya adalah pemimpin yang terpisah (daripada rakyat) gagal untuk menyelesaikan penderitaan, sebaliknya membiarkan ia berterusan.

Rakyat biasa yang menjadi pemimpin juga ada yang mengabaikan penderitaan rakyat, namun ia bukan kerana mereka tidak tahu, tetapi kerana tidak ambil peduli,” katanya ketika berucap pada program ‘My Voice My Nation Malaysia 2019’, di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir menceritakan perjalanan kehidupannya sejak kecil seperti kesukaran untuk mendapatkan peluang melanjutkan pelajaran, sukan yang diceburi dan sumbangan isterinya dalam kerjaya serta kehidupannya.

“Ketika saya membesar, tidak ramai orang Melayu boleh melanjutkan pelajaran di universiti, hanya keturunan Raja atau aristokrat mampu berbuat demikian. Ada yang menghantar anak mereka ke England. Saya bertuah kerana diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura,” katanya yang mengakui kerjaya sebagai doktor mempengaruhi cara membuat keputusan selepas menjadi ahli politik dan Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut berharap golongan muda ketika ini memahami mengapa generasinya berjuang menentang penjajahan dan memerdekakan negara daripada penjajah. Berkongsi pengalaman hidup di bawah pemerintahan penjajah, Perdana Menteri berkata rakyat diarah bekerja untuk kepentingan mereka, di saat penjajah menjarah hasil kekayaan negara.

“Kamu (generasi muda) bertuah. Saya harap rakyat Malaysia tidak akan lagi melalui saat getir itu, namun kebebasan tidak diberi, kamu perlu berusaha mendapatkan dan mempertahankannya. Saya percaya itu tugas yang diamanahkan kepada kamu. Baik atau buruk, kecil atau besar, generasi saya sudah lakukan bahagian kami,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply