Input your search keywords and press Enter.

Daftar Anak Autisme, OKU, Bagi Mudahkan Bantuan Intervensi Awal

M Update, 02/04/2021 – Ibu bapa dan penjaga anak autisme serta Orang Kurang Upaya (OKU) diseru mendaftarkan anak mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar bantuan intervensi awal untuk membantu perkembangan anak-anak tersebut dapat disalurkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program tersebut menyediakan bantuan serta sokongan yang meliputi pelbagai aspek kehidupan anak istimewa itu termasuklah dalam bidang pekerjaan. Jelasnya, program itu juga memberi bantuan kepada ibu bapa dan penjaga seperti latihan serta pendedahan untuk menguruskan kehidupan anak-anak autisme.

“Intervensi awal amat penting untuk membantu perkembangan anak-anak ini dari aspek pertuturan, perlakuan dan sebagainya.

“Kerajaan menerusi kementerian ini (KPWKM) dan agensi di bawahnya banyak inisiatif dan bimbingan untuk ibu bapa dan penjaga seperti PDK (Program Pemulihan Dalam Komuniti)…jadi mereka dengan anak autisme mahupun OKU lain, berdaftarlah dengan JKM,” katanya.

Setakat ini, 595,000 individu OKU berdaftar dengan JKM dengan 28,941 daripadanya adalah individu autisme.

Rina juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga khususnya pasangan muda untuk tidak berasa malu atau rendah diri jika mempunyai anak istimewa, sebaliknya meraikan serta mengetengahkan bakat anak-anak istimewa itu. – BH Online