M Update. 1/7/2019 – Seorang pesara guru berusia mengalami kerugian RM197,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai warga asing yang mahu menjadikan wanita itu sebagai kakak angkatnya.
Mangsa berusia 58 tahun berkenalan dengan suspek melalui laman sosial Facebook dengan kenalannya mendakwa akan ke Malaysia untuk bekerja di sektor gas di Sabah. Pada 10 April lalu, wanita yang menetap di Pendang itu menerima panggilan dari suspek mendakwa dia ditahan pihak kastam kerana membawa wang melebihi had ke negara ini. Katanya, mangsa kemudian membuat pembayaran sebanyak RM77,000 kepada ‘pihak kastam’ bagi melepaskan kenalannya ke akaun bank tempatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf, berkata kenalan mangsa kemudian meminta nombor akaun wanita itu bagi memindahkan wang berjumlah RM2 juta bagi tujuan memulakan perniagaan di Malaysia. Mangsa kemudian dihubungi pula seorang ‘pegawai bank’ di Pulau Pinang meminta dia membayar cukai antarabangsa berjumlah RM40,000 sebelum sejumlah wang dapat dipindahkan ke akaunnya. Mangsa turut dimaklumkan dia memiliki tunggakan pinjaman rumah berjumlah RM75,000 dan diarah melangsaikan hutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Annuar Amri berkata, mangsa bertindak membuat semua pembayaran berkenaan sebelum ‘pegawai bank’ berkenaan sekali lagi meminta bayaran RM5,000 bagi tujuan memindahkan dana ke sebuah bank di Kuala Lumpur. Mangsa secara keseluruhan membuat empat transaksi bank melalui perkhidmatan kaunter ke akaun bank seorang wanita warga tempatan.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas anaknya mengetahui ibunya sudah mengeluarkan semua wang simpanan persaraan sebelum laporan polis dibuat semalam,” katanya. Beliau berkata, polis percaya kes itu didalangi sindiket Parcel Scam yang dianggotai warga Afrika dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BH Online