KPM Teliti PdPR, Keputusan Libatkan Warga Pendidik, Ibu Bapa & Murid

Foto Hiasan

M Update, 16/03/2026 – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan kajian menyeluruh terhadap pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa serta murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menegaskan bahawa KPM komited memastikan keputusan yang bakal diumumkan tidak menjejaskan proses pembelajaran murid, supaya sesi pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

“Bagi pihak KPM, kami akan memastikan keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada warga pendidik, ibu bapa dan pelajar. Namun, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Kabinet mengenai pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR), yang dijangka dibuat minggu hadapan, sebelum sebarang ulasan lanjut boleh diberikan,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan KPM akan mengadakan perbincangan khusus minggu depan bagi memperhalusi mekanisme BDR termasuk PdPR dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian itu, sekiranya dasar berkenaan diputuskan untuk dilaksanakan kerajaan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menjelaskan bahawa pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR merupakan langkah penting untuk memastikan operasi kerajaan dapat diteruskan walaupun fenghadapi situasi tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.

Ketegangan di Asia Barat semakin meningkat sejak 28 Februari lalu berikutan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

Sumber: BH