PLKN 3.0 Siri 2/2026 Dibuka, Pelatih Boleh Semak Status Hari Ini

Foto: FB PLKN

M Update, 16/03/2026 – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meningkatkan kuota pengambilan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026 yang dijadual berlangsung selama 45 hari bermula 25 April hingga 8 Jun depan.

Langkah itu dibuat susulan penggunaan Kem MALBATT Village di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang mampu menempatkan sehingga 600 pelatih, selain dua kem sedia ada iaitu Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur serta Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Ya’cob Samiran, berkata pelatih yang lahir pada tahun 2008 boleh membuat semakan tawaran melalui Sistem ePLKN 3.0 bermula jam 1 tengah hari esok.

Menurutnya, pelatih yang menerima tawaran perlu membuat pengesahan kehadiran selewat-lewatnya pada 3 April ini.

Pembukaan kem baharu bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada ketersediaan fasiliti dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Menurut Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), bagi Siri 2/2026, penggunaan Kem MALBATT Village di Port Dickson sebagai fasiliti sementara akan menempatkan 600 pelatih, terdiri daripada 350 lelaki dan 250 wanita.

Walaupun pelatih lelaki dan wanita berada dalam kawasan kem yang sama, pelaksanaan latihan tetap mengekalkan pengasingan sepenuhnya mengikut kompeni, termasuk dari segi tempat penginapan, aktiviti latihan dan pergerakan harian sepanjang program.

JLKN turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan pelatih sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh latihan selama 45 hari.

Penambahan kuota ini juga memberi peluang kepada lebih ramai belia menyertai PLKN 3.0, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam membentuk generasi muda yang berjati diri, patriotik, bersatu padu serta memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi.