M Update, 02/07/2019 – Seorang lelaki menembak mati isteri, dua anak mereka dan enam anggota keluarga mentuanya hari ini dalam kes pembunuhan bermaruah di Multan, tengah Pakistan.
Dia kemudian membakar mayat semua mangsa dengan memulakan kebakaran rumah mereka, kata polis.
Muhammad Ajmal melakukan jenayah itu sebagai membalas dendam kerana mengesyaki isterinya, Kiran, menjalin hubungan sulit, kata Pegawai Daerah Polis bandar raya Multan, Imran Mehmood.
Ajmal, yang bekerja di Arab Saudi sebagai tukang jahit, kembali ke Pakistan 25 hari lalu dengan niat melakukan pembunuhan itu, kata Mehmood.
Katanya, Ajmal mengaku melakukan pembunuhan itu.
“Ini jelas kes pembunuhan bermaruah. Dia melihat gambar isterinya dengan lelaki lain dan percaya mangsa menjalin hubungan sulit.
“Dia tidak menyesal dengan tindakan itu,” kata Mehmood.
Selain pembunuhan isteri dan dua anak mereka, Ajmal juga membunuh tiga saudara ipar perempuannya, dua anak daripada anak mereka, dan ibu mentuanya.
Ajmal dan bapanya, yang berada dengannya, ditahan dan didakwa membunuh.
Polis masih memburu saudara lelaki Ajmal, yang dipercayai juga terbabit dalam jenayah itu.
Saudara lelaki Kiran, Ali Raza, berkata Ajmal dan isteri berhadapan masalah perkahwinan dan wanita itu balik ke Pakistan baru-baru ini dan tinggal dengan keluarganya.
“Cuma saya dan ayah sahaja sekarang, seluruh anggota keluarga lain sudah tiada,” katanya. – Reuters