Input your search keywords and press Enter.

Mahkamah tolak rayuan wanita dedah salah laku majikan

M Update, 05/07/2019 – Mahkamah Agung semalam, menolak rayuan seorang wanita yang dijatuhi hukuman penjara selepas mendedahkan perbuatan tidak senonoh majikannya, sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Mahkamah mengetepikan permohonan itu apabila Baiq Nuril Maknun gagal mengemukakan bukti baharu, selepas didapati bersalah melanggar undang-undang yang dianggap kontroversi, iaitu menyebarkan maklumat tidak senonoh.

Justeru, mahkamah mengekalkan hukuman denda 500 juta rupiah (RM146,049) dan penjara enam bulan ke atas Baiq.

“Permohonan semakan penghakiman yang dikemukakan ditolak kerana beliau melanggar undang-undang dan ia sudah dibuktikan,” kata jurucakap mahkamah, Abdullah.

Pada 2012, Baiq merakamkan perbualan antara seorang pengetua sekolah dan rakannya, mengenai butiran seksual secara grafik hubungan luar nikahnya.

Lelaki terbabit adalah pengetua sekolah tempat Baiq mengajar.

Baiq bersetuju untuk menyiarkan rakaman itu, selepas rakan sekerjanya yang bertugas di bahagian pentadbiran sekolah, meyakinkan beliau untuk berbuat demikian bagi mendedahkan perlakuan tidak sekolah pengetua terbabit.

Rakan sekerja itu dikatakan pernah berulang kali menolak cubaan pengetua terbabit untuk menjalin hubungan dengannya.

Sebelum ini, mahkamah tempatan di Lombok, iaitu lokasi sekolah terbabit, membebaskan beliau atas tuduhan itu, namun mahkamah lebih tinggi mengetepikan keputusan itu.

Baiq kemudiannya didapati bersalah kerana melanggar undang-undang maklumat elektronik.

Sementara itu, peguamnya, Joko Jumadi, berkata peguamnya amat kecewa dengan keputusan mahkamah itu, iaitu peluang akhir untuk beliau mengemukakan rayuan.

“Baiq enggan berhenti daripada berjuang kerana jika berbuat demikian, beliau khuatir ia akan menyebabkan mangsa gangguan lain takut untuk mendedahkan nasib yang menimpa mereka.

“Kami sudah menggunakan segala prosedur perundangan dan kini kami berharap Presiden Joko Widodo akan berbuat sesuatu mengenainya,” kata Joko.

Pada November lalu, Presiden Indonesia itu menyatakan kebimbangannya mengenai kes membabitkan Baiq dan berkata sekiranya Mahkamah Agung menolak rayuannya, wanita itu boleh memohon pengampunan. – AFP

Leave a Reply