Input your search keywords and press Enter.

Yusri KRU Dilantik Duta TVET

M Update, 5/7/2019 – Penggiat seni, Yusri Abdul Halim atau Yusri KRU dilantik sebagai ikon atau duta pertama bidang pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2019. Semoga dengan pelantikan Yusry ini sebagai duta TVET dapat menaikkan semangat adik-adik untuk memilih bidang pendidikan latihan teknikal dan vokasional ini.

Menteri Sumber Manusia , M Kulasegaran, berkata pemilihan Yusri dibuat menerusi saringan ketat dan mengambil kira kejayaannya dalam bidang seni. Katanya, Yusri bermula daripada seorang penyanyi dan pelakon sehingga menjadi pengarah muzik dan penerbit filem terkenal yang masih bergiat aktif sehingga sekarang.

Beliau berharap Yusri dapat memainkan peranan besar dalam meningkatkan lagi kesedaran masyarakat bahawa bidang TVET menjamin masa depan mereka. Pelantikan Yusri tidak membabitkan sebarang kos (bayaran) hanya satu permulaan kerana kementerian bercadang melantik beberapa lagi ikon dan duta kecil yang mempunyai pelbagai kemahiran dan kebolehan berlainan, dalam masa terdekat.

“Kita berharap pelantikan Yusri dapat membantu kerajaan mencapai sasaran melahirkan 35 peratus pekerja mahir menjelang akhir 2020 berbanding sekarang hanya kira-kira 28 peratus sahaja,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena pengumuman Ikon TVET.

Justeru, Kulasegaran berkata beliau berharap ibu bapa dapat mengubah persepsi mereka bahawa TVET adalah peluang pendidikan kelas kedua atau untuk mereka yang gagal melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik di universiti awam atau kolej swasta. Tindakan itu perlu kerana ramai kalangan graduan dalam bidang lain termasuk perubatan terpaksa menganggur kerana sukar mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan di negara ini.

“Peluang pendidikan TVET atau kemahiran perlu jadi pilihan utama ibu bapa untuk menghantar anak mereka melanjutkan pengajian kerana ia bukan hanya menjamin masa depan, malah membuka ruang yang luas kepada golongan belia terbabit dengan bidang keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, ada dalam kalangan graduan dalam bidang perubatan terpaksa menganggur antara satu hingga dua tahun sebelum diserapkan menjadi doktor pelatih di hospital kerajaan. Situasi ini berbeza jika dibandingkan dengan lepasan TVET yang 94 peratus mendapat pekerjaan sebaik menamatkan pengajian di institut kemahiran di seluruh negara.

Sementara itu, Yusri ketika ditemui pemberita berkata beliau akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman lebih 27 tahun sebagai penyanyi, pelakon dan pekerja dalam industri perfileman dan muzik untuk membantu memupuk kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan lepasan sekolah terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengenai kebaikan dan peluang melanjutkan dalam bidang TVET.

Leave a Reply