Input your search keywords and press Enter.

Keputusan Had Umur Belia Muktamad – Syed Saddiq

M Update, 12/7/2019 – Keputusan Kerajaan Persekutuan menurunkan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun adalah muktamad.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu sebenarnya sudah lama dibincangkan dan dipersetujui sebelum ini.

“Pendirian tegas tidak akan berubah, tetap akan dikuatkuasakan. Saya tekankan sekali lagi akta ini akan berkuatkuasa pada Disember 2021. Bagi saya, waktu sekarang ini (pindaan terhadap akta) harus bermula,” katanya.

“Sebelum pindaan ini, saya ada berbincang dan sudah mendapat persetujuan bukan sahaja antara EXCO kerajaan negeri, tetapi juga sayap pemuda (parti politik).

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi ahli panel wacana Sinar Harian bertajuk ‘Mengundi Umur 18 tahun: Siapa Yang Untung?’ di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian beberapa pihak yang masih tidak bersetuju dengan pindaan had usia belia itu. Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) itu antaranya bagi menurunkan had usia belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Julai lalu.

Selain beliau, tiga lagi ahli panel wacana berkenaan ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Syed Saddiq berkata, ada beberapa pihak termasuk pihak kerajaan negeri tertentu yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.

“Jika membabitkan program di peringkat kerajaan negeri, kita faham, contoh macam Selangor. Selangor memang jelas ikut kita cuma dasar kerajaan negeri itu lain, tetapi sekiranya mereka berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia, mereka kena ikut,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply