Input your search keywords and press Enter.

Tahanan Nigeria Diserang Sawan Sebelum Maut

M Update, 12/7/2019 – Seorang lelaki warga Nigeria yang didakwa ditahan secara tidak sah dan dilaporkan mati ketika dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) diserang sawan ketika tidur.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh kesihatan subjek yang dikenali sebagai Thomas Orhions Ewansiha dan laporan penuh bedah siasat untuk mengetahui punca kematian. Katanya, sepanjang dalam tahanan Imigresen, subjek bersama tahanan lain dilayan dengan berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) menguruskan tahanan oleh semua Pegawai Imigresen bertugas di Depoh Imigresen Bukit Jalil (DIBJ).

Pada waktu kejadian lebih kurang jam 12.05 tengah malam 9 Julai, pegawai bertugas dimaklumkan oleh tahanan lain subjek tiba-tiba sawan ketika sedang tidur. Tindakan pemeriksaan dan rawatan serta merta diambil oleh Unit Rawatan Khas yang bertugas dan menghubungi pihak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bantuan segera.

Ambulans HUKM tiba bersama seorang Penolong Pegawai Perubatan pada jam 12.30 tengah malam dan terus melakukan pemeriksaan serta bantuan namun subjek disahkan meninggal dunia, kemudian pegawai penyelia dan pegawai bertugas pergi ke Balai Polis Bukit Jalil untuk membuat laporan polis,”.

Subjek ditahan dalam operasi bersepadu 4 Julai lalu di Desa Aman Puri. Ketika serbuan ada warga Afrika bertindak melarikan dan enggan bekerjasama kepada pegawai operasi. Subjek turut melarikan diri namun berjaya ditahan oleh pegawai operasi, subjek kemudian mengemukakan pasport dan hasil semakan mendapati subjek memiliki pas pelajar yang masih sah.

Tindakan subjek yang melarikan diri menimbulkan keraguan ketulenan pas pelajar yang dimilikinya. Subjek disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(l) dan ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut. Semua orang kena tahan (OKT) dalam operasi terbabit termasuk subjek dibawa ke pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ketika proses dokumentasi dijalankan, subjek diberi rawatan asas oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana terdapat luka lama di bahagian betis kanan subjek dan subjek tidak memaklumkan sebarang jenis penyakit yang dihadapi. Semua OKT termasuk subjek kemudian dihantar ke DIBJ pada 5 Julai, jam 12 tengah hari. – BH Online

Leave a Reply