M Update, 15/07/2019 – Pesawat JetBlue terpaksa dikosongkan selepas seorang individu menghantar gambar ves bunuh diri kepada penumpang dan pembantu penerbangan.
Individu tidak dikenali itu menggunakan paparan AirDrop Apple, yang membolehkan pengguna memindahkan fail dengan mudah dan tidak diketahui kepada peranti iOS lain menggunakan bluetooth.
Pihak berkuasa berkata, pesawat menuju ke Florida itu hampir berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, apabila imej itu dikongsi secara meluas di dalam kapal terbang berkenaan.
Seorang anggota kru penerbangan 573 itu memberitahu kapten, yang memaklumkan pihak berkuasa mengenai perkara itu kira-kira jam 7.45 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu lalu.
Pesawat berkenaan terpaksa kembali ke pintu pagar dan 150 penumpang dan anak kapal diminta meninggalkan kapal terbang, dan bagasi mereka diimbas semula serta diperiksa oleh unit anjing pengesan bom, K-9.
“Kami berpatah balik ke pintu apabila kapten memberitahu ada ancaman keselamatan.
“Memang gementar apabila melihat pegawai polis memasuki pesawat dan anda tidak tahu apa sebenarnya berlaku,” kata seorang penumpang, Thomas Desmond.
Individu yang menghantar imej itu berkemungkinan seorang penumpang kerana AirDrop juga berfungsi dengan mereka berada dekat dengan penghantar.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat dikesan.
Pesawat itu akhirnya berlepas sebelum jam 11.30 pagi waktu tempatan, dan kejadian itu tidak menjejaskan penerbangan lain. — Agensi