M Update, 17/07/2019 – Seorang bayi berusia sebulan terpaksa dipotong zakarnya selepas ia menjadi gangren apabila dikhatankan seorang jururawat yang berpura-pura menjadi doktor.
Ashraf Helmi memberitahu media, dia membawa anaknya untuk divaksin di Pusat Perubatan Manti di utara Kaherah dengan ditemani kakak ipar dan seorang rakan.
Katanya, kakak ipar dan rakannya memujuknya terus mengkhatankan anak lelakinya dan dia bersetuju dengan seorang jururawat yang menyamar sebagai doktor melakukan prosedur berkenaan.
Menurut media tempatan, jururawat itu mendapat bonus 50 paun (RM12) untuk melakukannya.
“Dia terus melakukannya di wad kecemasan, bukan di bilik pembedahan. Saya enggan pergi dari situ kerana bimbang kesilapan berlaku.
“Selepas dia selesai, dia mengikat pembalut kasa sangat ketat sehingga saya menegurnya. Tetapi dia berkata, ‘saya tahu apa yang saya lakukan!’” katanya.
Bagaimanapun, Ashraf mula risau apabila melihat kemaluan anaknya bengkak dan membawanya semula ke pusat perubatan itu.
Ashraf mengesyaki sesuatu tidak kena apabila wanita sama memintanya menunggu dan dia akan memanggil doktor menyebabkan bapa itu terus membuat laporan polis.
Beberapa hari kemudian, anaknya dinamakan Mohamed itu terkena jangkitan kuman, namun apabila dikejarkan ke hospital doktor memaklumkan kemaluan bayi itu terpaksa dipotong kerana sudah gangren.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Hamdi al-Tabakh memberitahu media tempatan, jururawat terbabit mengakui perbuatannya, namun menurutnya bayi itu dikhatan di rumah Ashraf, bukannya di pusat perubatan berkenaan.
“Jururawat itu sedang disoal siasat secara dalaman, namun dia mendakwa kejadian berlaku di kediaman mangsa atas permintaannya,” kata Hamdi.
Ashraf menafikan dakwaan itu.