M Update, 18/7/2019 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada lapan ketua perwakilan Malaysia ke luar negara.
Mendahului senarai penerima watikah pelantikan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin yang akan bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke China.
Raja Nushirwan memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1994 dan pernah memegang beberapa jawatan, termasuk Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (2010-2014) dan sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran (2014-2017). Timbalan Ketua Setiausaha (Khidmat Pengurusan) Kementerian Luar, Datuk Nor’ Aini Abd Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Jerman (1997-2001) dan juga bekas Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan.
Pada majlis berlangsung di Istana Negara itu, bekas Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Norman Muhamad menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Filipina. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kerjasama Serantau sejak 2018 dan sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Buenos Aires, Argentina dari 1995 hingga 1998.
Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Algeria sejak 2014, Mohd Tarid Sufian dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian (Perancang Dasar dan Strategi) dari 2010 hingga 2011 dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pelaksanaan dan Penyelarasan Kementerian Luar dari 2011 hingga 2014. Watikah pelantikan turut dikurniakan kepada Zakaria Nasir, Ketua Pusat Pemerkasaan Kompetensi di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri sejak 2016, yang dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Ireland.
Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta sejak 2016, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Vietnam. Duta Besar Malaysia ke Turki sejak 2016, Datuk Abd Razak Abdul Wahab pula dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi. Timbalan Ketua Protokol Kementerian Luar sejak 2016, Abdullah Zawawi Tahir dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Romania. Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada 2010 dan Konsul Jeneral Malaysia di Davao City, Filipina pada 2012.
Sultan Abdullah turut menerima watikah pelantikan ketua-ketua perwakilan asing yang baharu ke Malaysia, iaitu Duta Besar Maldives Visam Ali; Duta Besar Guinea, Mohamed Lamine Conde; Duta Besar Tajikistan, Ardasher Saeed Jaafar Qodri; Duta Besar Kazakhstan, Bolat Barievich Imanbayev dan Duta Besar Slovakia, Jaroslav Chlebo. – Bernama