Input your search keywords and press Enter.

Guan Eng : Rizab Simpanan Negara Meningkat

M Update, 30/10/2019 – Perangkaan terkini menunjukkan rizab simpanan negara meningkat kepada RM432.7 bilion berbanding RM419.6 bilion tahun lalu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jumlah terkini itu adalah memadai bagi membiayai import tertangguh selama 7.6 bulan, selain 1.1 kali jumlah hutang negara bagi tempoh jangka pendek. Tahun lalu, rizab simpanan negara cukup untuk membiayai import tertangguh selama 7.4 bulan, selain hanya sekali jumlah hutang luar negara bagi jangka pendek.

“Pada 2018, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan adalah RM232.9 bilion, manakala bagi perbelanjaan kerajaan pula sebanyak RM287.1 bilion.

“Ini merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM231 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM56.1 bilion,” katanya menjawab soalan Jonathan Yasin (PH-Ranau) mengenai simpanan rizab negara, jumlah pendapatan dan perbelanjaan negara tahun lalu, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Jonathan mengenai cara kerajaan menambahkan pendapatan baharu bagi mengurangkan hutang negara, Guan Eng berkata, hutang langsung negara hanya dapat dikurangkan jika kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan mempunyai lebihan selepas menampung perbelanjaan pembangunan.

Lebihan ini akan digunakan untuk membiayai hutang langsung dan kerajaan tidak perlu membuat pinjaman,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan berjaya mengurangkan hutang langsung daripada RM95.9 bilion pada tahun 1993 kepada RM9.9 bilion pada 1997 berikutan lebihan fiskal dalam kedudukan kewangan tahunan negara.

“Walaupun kedudukan hutang langsung meningkat, tetapi komitmen hutang jika diteliti secara keseluruhannya adalah menurun berbanding peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).

“Jika kita lihat kedudukan hutang langsung Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun berjumlah RM799.1 bilion atau 52.7 peratus daripada KDNK, tetapi masih kekal di bawah paras 55 peratus yang ditetapkan,” katanya. – BH Online

Leave a Reply