M Update, 23/7/2019 – Penahanan seorang hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam, menunjukkan tiada sesiapa yang kebal di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata sesiapa yang terbabit jenayah termasuk hakim tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang. Justeru, pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
“Kita serah kepada SPRM dan kalau terbukti, kes itu akan dirujuk kepada Peguam Negara. Dalam kes ini, kami sebagai badan eksekutif tidak campur tangan. Malah, jika ada lagi kes lain, terserah kepada SPRM atau mana-mana agensi untuk menyiasat dan mahkamah akan mengambil berat dengan menekankan soal integriti supaya bersih daripada sebarang rasuah,” katanya.
Akhbar hari ini melaporkan, SPRM menahan seorang hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata tangkapan itu ada kaitan dengan kes tangkapan sebelum ini membabitkan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa anggota polis. Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa turut mengakui kes berkenaan sedikit sebanyak mencalarkan imej institusi kehakiman. – BH Online