Input your search keywords and press Enter.

Agong, Raja Permaisuri Berangkat Ke Majlis Bacaan Yasin Sempena Pertabalan

M Update, 26/7/2019 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat sempena Istiadat Pertabalan baginda di Masjid Negara di sini, semalam.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 7.30 malam disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa menteri kabinet.

Majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu dimulai dengan solat hajat, diikuti bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Sultan Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun pada 31 Jan lepas. Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 akan berlangsung di Istana Negara pada 30 Julai ini. -Bernama

Leave a Reply