Input your search keywords and press Enter.

MPU gesa kerajaan haramkan PUBG di seluruh Indonesia

M Update, 25/06/2019 – Selepas mengeluarkan fatwa terhadap permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), Majlis Ulama Aceh (MPU) menggesa kerajaan pusat mengharamkan permainan atas talian ganas itu di seluruh negara.

Mendakwa ia mencetuskan tindak-tanduk agresif dan ketagihan, pengerusi MPU, Muslim Ibrahim, berkata majlis berkenaan berharap kerajaan pusat akan menyekat semua laman web dan permainan atas talian yang mengandungi unsur keganasan atau pornografi, selain mengawasi pembekal permainan seumpama itu.

“Kita sudah melengkapkan penilaian mendalam menggunakan perundangan dan teknologi Islam dan mengadakan pemerhatian psikologi.

“Semua anggota MPU bersetuju permainan itu boleh membawa kepada jenayah, krisis psikologi dan moral dan mencetuskan gangguan awam.

“Jadi, kami mengisytiharkan permainan ini haram,” kata Muslim.

PUBG adalah pertandingan perang menyamai novel dan siri filem Hunger Games yang menjadi permainan telefon pintar paling popular selepas diperkenalkan, dengan peminat dari Amerika Syarikat dan Russia hingga Malaysia.

Unsur keganasan permainan itu memaksa Iraq, Nepal dan kerajaan negeri Gujarat di India mengharamkan ia.

Fatwa Aceh, yang dikeluarkan selepas majlis itu mengadakan mesyuarat penuh bermula 17 hingga 19 Jun, mengisytiharkan bermain PUBG atau permainan serupa diharamkan dalam Islam, tetapi ia tidak mengenakan sebarang sekatan jika ada yang melanggar, kerana majlis itu bukan institusi kerajaan.

Pengharaman dibuat MPU berdasarkan beberapa pertimbangan, termasuk dakwaan ia mencetuskan keganasan, ketagihan dan menghina simbol Islam.

Muslin mendakwa mereka yang amat ketagih bermain PUBG boleh meniru aksi ganas dan jika pemain penagih dadah, akibatnya lebih buruk.

Kebimbangan berhubung PUBG di Indonesia timbul Mac lalu apabila Kementerian Komunikasi dan Maklumat mahu mengenakan hak bermain permainan itu. — Agensi

Leave a Reply