Input your search keywords and press Enter.

Sarjan Caroline Sukarelawan Bantu Jemaah Haji

M Update, 31/7/2019 – Sekali imbas mungkin tiada siapa menyangka seorang jemaah haji wanita ayu berperwatakan lemah lembut, Caroline Justin Thaddeus Abdullah, seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Bagaimanapun sebagai sukarelawan ‘Sahabat Maktab’ yang bertanggungjawab menyantuni duyufurrahman atau tetamu Allah di Tanah Suci, perwatakan itu penting bagi Caroline, 45, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagi memastikan jemaah haji selesa dan dibantu dengan baik.

Beliau yang bertugas sebagai Pemerhati Udara di Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia Pangkalan Sabah berkata, dirinya dapat membantu jemaah haji dari Sabah terutama aspek komunikasi dengan jemaah haji negeri lain dan petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

“Saya akan cuba sebaik mungkin membantu kerana (jemaah) daripada pantai timur dan pedalaman (Sabah) ada juga masalah komunikasi, mungkin mereka tidak berapa faham bahasa orang Semenanjung, jadi saya akan cuba yang terbaik (untuk membantu) terutama di Arafah dan Mina nanti,” katanya.

Caroline yang memeluk Islam pada 2006 menawarkan diri sebagai sukarelawan kerana melihat ia sebagai satu pengorbanan kepada Allah SWT dan boleh membantu TH mengurus jemaah terutama aspek keselamatan. Sebelum ini tidak pernah dengar ‘Sahabat Maktab’ ini tetapi setibanya di sini pengurus maktab beritahu memerlukan sukarelawan bantu jemaah haji, sebagai anggota polis saya rasa terpanggil untuk membantu, di tanah air boleh bertugas apa salahnya di sini saya membantu.

“Saya diberi peluang menunaikan haji, jadi saya rasa tanggungjawab saya untuk membantu terutama menasihatkan jemaah tentang cara menjaga keselamatan di sini, kita tidak mahu jemaah haji jadi mangsa kes seperti kecurian dan sebagainya,” katanya yang menabung dengan TH sejak 2006.

Beliau yang menjadi sukarelawan ‘Sahabat Maktab’ untuk Maktab 86 berkata, menyertai program itu tidak mengganggu ibadahnya di Tanah Suci kerana program sukarelawan itu diatur dengan baik oleh pihak TH. Lebih 300 jemaah haji dari Sabah menginap di Maktab 86 di sini. – Bernama

Leave a Reply