Input your search keywords and press Enter.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu Berlangsung Hari Ini

M Update, 16/06/2021 – Pandangan yang dikemukakan pemimpin politik ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak Rabu lepas hingga semalam akan disembah maklum kepada Raja-Raja Melayu dalam satu perbincangan khas di Istana Negara hari ini.

Beberapa pakar dari agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, yang dijadual berlangsung pada 2.30 petang.

Ini merupakan kali kedua Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 selepas yang pertama pada 25 Okt tahun lepas.

Sejak Rabu lepas, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik dalam sesi yang berlangsung secara bersemuka dan maya di Istana Negara dan mendengar pandangan mereka mengenai pelbagai isu.

Selain pemimpin parti politik, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Tun Arifin Zakaria.