Input your search keywords and press Enter.

Persidangan Dewan Negara Ditangguh

M Update, 1/8/2019 – Mesyuarat kedua Dewan Negara bagi penggal kedua, Parlimen ke-14 yang bersidang sejak 22 Julai lalu, ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran ketika mengumumkan penangguhan persidangan, menasihatkan semua Ahli Dewan Negara mengambil pedoman daripada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena istiadat pertabalan yang memberi penekanan kepada aspek perpaduan dan keharmonian rakyat.

Justeru, sebagai ahli badan perundangan tertinggi negara ini, ahli Yang Berhormat perlu menjadi penggerak kepada perpaduan bagi mempertahankan solidariti rakyat dan memastikan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan yang aman. Pada masa sama, dewan yang mulia ini menyambut baik usaha kerajaan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat bertujuan untuk memelihara keharmonian negara dalam mencari kebersamaan dalam pelbagai isu agama dan etnik,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak terbabit dalam sesi Dewan Negara kali ini, termasuk mereka yang akan menamatkan perkhidmatan mereka sebagai Senator dalam waktu terdekat.

“Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih atas kesungguhan diberikan oleh semua yang menjayakan sesi dewan kali ini terutama pegawai dan kakitangan bahagian pengurusan, menteri, timbalan menteri, pegawai dan kakitangan kerajaan yang terbabit secara langsung atau tidak. Saya berpuas hati dan berbangga dengan senator kerana mewujudkan prestasi amat memuaskan ketika berbahas terutama dalam menyumbangkan pelbagai idea bernas dan teguran tegas demi kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya.

Persidangan Dewan Negara kali ini meluluskan 12 Rang Undang-Undang, membabitkan Rang Undang-Undang Cap Dagangan 2019, Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019. Turut diluluskan Rang Undang-Undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Penyemakan Undang-Undang (Pindaan) 2019.

Selain itu, Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan)(No 2) 2019, Rang Undang-Undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019, Rang Undang-Undang Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 serta Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2019. – Bernama

Leave a Reply