Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana pada 30 Julai 2019 yang lalu, terukirlah satu lagi sejarah penting di negara kita apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong yang keenam belas (16) bagi kerajaan Malaysia. Baginda seorang yang dikenali dengan sifatnya yang mudah didampingi, peramah dan berjiwa rakyat.
Dalam konteks bernegara khususnya rakyat Malaysia, sudah pasti mempunyai kerajaan dan ketua negara yang menjadi payung kepada sistem yang diamalkan iaitu negara demokrasi dan Raja berperlembagaan. Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan tonggak utama kepimpinan negara yang melindungi seluruh rakyat, menjadi tunjang kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat seterusnya sebagai obor memancarkan sinar Islam di negara ini.
Selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Baginda, kita mestilah memberikan taat dan setia yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan negara. Jumhur ulama dikalangan ahli sunnah wal jamaah berpendapat bahawa menjadi kewajipan fardu ain ke atas Ummat Islam mentaati Ulul Amri (pemerintah) selama pemerintah tersebut mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 59:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
Ayat diatas diperjelaskan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhuma:
“Mendengar dan taat itu wajib bagi seseorang dalam apa yang ia suka atau benci, selama ia tidak diperintah berbuat maksiat, maka jika diperintah maksiat maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Junaid al-Khutub seorang ahli Sufi bila ditanya siapakah orang pertama yang didoakannya sekiranya doanya mustajab. Beliau menjawab: “Para pemimpin, kerana sekiranya pemimpin itu baik, nescaya baiklah rakyat dan sejahteralah negara.” Demikian pentingnya seorang pemimpin bagi sesebuah negara.
Hbungan erat antara raja dan rakyat, atau pemimpin dengan yang dipimpin bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah ia merupakan amalan yang sudah sekian lama berlaku, sama ada dalam tradisi kepimpinan Islam atau dalam Kesultanan Melayu dahulu. Oleh itu budaya ini sewajarnya terus diamalkan dan dipertahankan demi memelihara agama, bangsa dan negara. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abi Musa Al-Ashari Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Hubungan di antara orang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah binaan yang saling kuat menguat diantara satu sama lain.” (Riwayat Muslim).
Usaha untuk membentuk kekuatan ummah bagi sesebuah negara bukan setakat penyokong yang ramai, semangat yang berkobar, kepetahan berpidato, tetapi yang lebih penting dan utama ialah perpaduan yang utuh dikalangan semua rakyat dan pemimpin.
Perpaduan dapat diertikan sebagai satu penyatuan tenaga, pemikiran, cita-cita dan pengorbanan didalam satu ikatan yang bersepadu, kuat dan kukuh. Perpaduan sangat penting dalam hidup bermasyarakat sama ada dalam kumpulan yang kecil seperti dalam keluarga atau masyarakat yang besar seperti dalam sebuah negara kerana perpaduan dan keharmonian adalah tiang seri kekuatan negara.
Falsafah hidup orang Melayu Islam telah lama tertanam semangat perpaduan ini, sehingga lahirlah ungkapan turun temurun seperti “bersatu teguh bercerai roboh” dan “bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat”. Demikian juga hubungan antara Raja dan rakyat, terdapat ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah tiada”.
Untuk menjamin kesejahteraan ummah, setiap rakyat hendaklah sentiasa bersikap baik sangka, hormat menghormati sama ada melalui pertuturan atau perbuatan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhuma:
“Seseorang Islam itu, ialah orang yang menyelamatkan seluruh umat Islam, daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari).