M Update, 07/08/2019 – Seorang lelaki menerima pampasan £20,000 (RM102,222) selepas doktor tersilap mengkhatankannya ketika melakukan prosedur masalah pundi kencing di sebuah hospital di England.
Terry Brazier, 70, dijadual menjalani prosedur memasukkan kamera bagi menilai keadaan pundi kencingnya sebelum disuntik botox pada dinding pundi tetapi kakitangan Hospital Leicester Royal Infirmary tersilap berikutan catatan bercampur-aduk.
“Saya mahu menjalani pembedahan memasukkan botox tetapi mereka mengkhatan saya.
“Mereka tidak tahu bagaimana hendak memberitahu saya selepas menyedari kesilapan itu,” kata Brazier yang menganggapnya sebagai ‘kejutan besar’ kepada Daily Star.
Menurut Daily Star, Brazier yang dibius separuh badan tidak menyedari kesilapan itu kerana leka berbual dengan jururawat.
Pengarah Perubatan Hospital Universiti Leicester, Andrew Furlong, berkata: “Kami masih sedih dan menyesal dengan kesilapan itu.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi memohon maaf kepada Brazier.
“Kami memandang serius kejadian seperti ini dan sudah menjalankan siasatan menyeluruh.
“Walaupun wang tidak dapat mengembalikan apa yang hilang, kami berharap bayaran ini melegakan pesakit.”