Input your search keywords and press Enter.

Insentif Pemandu Berhemah Dapat Ganjaran Bakal Dilaksana

M Update, 8/8/2019 – Kerajaan akan memuktamadkan pelan pemberian diskaun merangkumi pelbagai insentif seperti tol, petrol dan insurans kepada pemandu berhemah dalam tempoh terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelan berkenaan sepatutnya diumumkan Februari lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana kerajaan perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal. Katanya, pelan yang mengutamakan pendekatan insentif, berbanding punitif itu dijangka berupaya dilaksanakan hasil kerjasama strategik dengan rangkaian sektor swasta.

Sebelum ini memang ada hebahan mengenai usaha memperuntukkan ganjaran, tetapi bukan dalam bentuk insentif tunai oleh kerajaan kerana kita tidak boleh berbuat demikian. Bagaimanapun, kerajaan boleh menjalin kerjasama dengan sektor swasta, termasuk syarikat insurans supaya mereka memberikan penambahan insentif terhadap peningkatan kadar diskaun tanpa tuntutan (NCD) jika pencarum tiada rekod saman trafik.

“Sepatutnya perkara ini diumumkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina Februari lalu, namun ketika itu kita berdepan masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dulu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya Digi 2019, di sini, hari ini.

Selepas tertangguh hampir enam bulan, Loke berkata, kementerian sekali lagi membangkitkan usaha pemberian insentif kepada pemandu berhemah dalam mesyuarat Kabinet, semalam. Kerajaan optimis pelan yang bakal menyaksikan penurunan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya saban tahun itu berupaya dilaksanakan kerana ia penyelesaian ‘menang-menang’. Jika diperhatikan, dari sisi model perniagaan syarikat insurans, mereka akan meraih manfaat dengan tidak perlu memperuntukkan bayaran tuntutan kepada pencarum jika tiada kes kemalangan hasil pemanduan berhemah.

Jadi, manfaat ini boleh disalurkan kembali menerusi pemberian insentif dengan meningkatkan kadar pemotongan NCD kepada pencarum dan itu hanya satu contoh membabitkan syarikat insurans.

“Saya tidak boleh memberikan banyak perincian berhubung perkara ini, namun apa yang boleh diperkatakan ialah pelbagai pihak kini tampil memberikan kerjasama terhadap usaha pemberian insentif kepada pemandu. Kita boleh berikan insentif dalam bentuk baucar, rebat dan sebagainya menerusi kerjasama dengan syarikat petrol, telekomunikasi serta insurans,” katanya.

Leave a Reply