M Update, 28/08/2019 – Seorang mangsa buli menembak mati rakan sekelas yang sering membulinya dalam satu majlis perjumpaan semula selepas 50 tahun mereka meninggalkan zaman sekolah.
Thanapat Anakesri, 69, menghadiri majlis perjumpaan semula itu pada Sabtu lalu dan bertemu dengan bekas rakan sekolahnya yang belajar di sebuah sekolah di Ang Thong, tengah Thailand.
Mail Online melaporkan, kumpulan itu mengimbas kembali zaman persekolahan mereka kira-kira 50 tahun lalu sambil makan dan meminum arak.
Bagaimanapun, selepas majlis itu hampir tamat, Thanapat memarahi seorang bekas rakan sekelasnya, Suthat Kosayamat, 69, kerana sering membulinya ketika di sekolah.
Bekas pegawai tentera laut itu mendesak Suthat meminta maaf kerana sering membulinya ketika di sekolah tetapi lelaki itu enggan dan memberitahu dia sudah tidak mengingati perkara itu.
Thanapat yang berang terus mengeluarkan pistol dan menembak Suthat beberapa kali sebelum melarikan diri.
Suthat dikejarkan ke hospital tetapi disahkan sudah meninggal dunia.
Polis kini memburu Thanapat yang dipercayai sudah melarikan diri.