Input your search keywords and press Enter.

Sultan Nazrin Perkenan Solat Di Masjid, Surau Seluruh Perak

Sultan Nazrin memperkenankan solat fardu dan solat Jumaat diadakan di semua masjid dan surau di Perak dengan terhad 40 jemaah saja.

M Update, 27/01/2021 – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan solat Jumaat diadakan di semua masjid dan surau termasuk surau dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang untuk memberi peluang lebih ramai orang menunaikannya secara berjemaah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata Sultan Perak menzahirkan titah itu selepas menimbangkan sembah cadangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.

Bagaimanapun, Mohd Annuar berkata, had maksimum adalah 40 jemaah dalam sesebuah masjid atau surau bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah (tidak termasuk ahli jawatankuasa serta pegawai masjid atau surau).

Katanya, jemaah yang dibenarkan terbatas kepada warganegara Malaysia lelaki dalam lingkungan usia 16 tahun hingga 70 tahun.

“Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah Allah dan beribadah secara berjemaah, walaupun baginda juga bimbang ancaman keselamatan ummah akibat penularan wabak COVID-19.

“Aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuk waktu solat Isyak dan ia perlu dihentikan sebaik masuk waktu solat Isyak.

“Bagaimanapun, sebarang acara jamuan dalam atau di perkarangan masjid dan surau tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, baginda turut bertitah supaya syarat jarak fizikal antara jemaah diperketatkan dengan memperkenalkan keperluan baharu terutama mekanisme aliran jemaah masuk dan keluar masjid serta surau.

“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua ahli jawatankuasa dan pegawai masjid serta surau, selain bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan.

“Ketetapan ini terpakai dan berkuat kuasa bermula esok hingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu,” katanya.

Mohd Annuar yang juga Ahli Dewan Negara Perak berkata, Sultan Perak turut menzahirkan nasihat supaya semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari, memohon ihsan dan rahmat Allah supaya bencana kesihatan yang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung, sekali gus kehidupan insan kembali normal.

Beliau berkata, baginda turut bersimpati dengan petugas KKM yang berusaha menangani wabak COVID-19 yang menular pada skala besar dan mahu rakyat bersama membantu meringankan beban mereka.

“Antara kaedah boleh dilakukan termasuk melaksanakan penjarakan fizikal, meminimumkan bilangan kehadiran dalam sesuatu acara, tidak menganjurkan atau menghindarkan acara perhimpunan.

“Sultan Perak juga menghargai sumbangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pelbagai agensi lain yang bekerjasama memastikan PKP dipatuhi,” katanya.