Input your search keywords and press Enter.

Darurat Bencana Jerebu Jika IPU Lebih 500

M Update, 17/9/2019 – NADMA memantau keadaan jerebu di Sarawak dan negeri-negeri lain dalam kenyataan hari ini berkata, Darurat Bencana Jerebu hanya dibuat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500. Manakala operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dibuat di Sarawak pada atau selepas 19 September, tertakluk kepada keadaan atmosfera, cuaca dan awan, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut Laporan Jabatan Alam Sekitar pada 8 pagi hari ini, terdapat 29 kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat, sangat tidak sihat (tiga) dan bahaya (satu). Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bahaya adalah di Sri Aman, Sarawak pada 359, manakala tiga stesen yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat adalah Port Dickson, Negeri Sembilan (207); Kuching, Sarawak (216) dan Johan Setia, Klang, Selangor (232).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. Menurut NADMA, sejumlah 531 sekolah ditutup hari ini membabitkan 363,991 pelajar, iaitu di Selangor 145 sekolah, Sarawak (298), Negeri Sembilan (63) dan Putrajaya (25).

Menurut NADMA, Darurat Bencana Jerebu pernah dilaksanakan di Kuching, Sarawak pada 19 September 1997 apabila bacaan IPU 650; pada 1 Ogos 2005 di Kuala Selangor apabila IPU 531 direkodkan dan di Pelabuhan Klang, Selangor selain pada 23 Jun 2013 di Muar dan Ledang, Johor apabila bacaan IPU melebihi 500. NADMA turut menasihatkan rakyat khususnya di negeri dan kawasan yang bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dan tidak sihat untuk sentiasa berada di kawasan tertutup serta mengurangkan aktiviti fizikal dan luar.

“Jika perlu berada di kawasan terbuka, topeng muka hendaklah sentiasa dipakai demi menjaga kesihatan, minum air yang mencukupi dan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu bertambah buruk,” katanya. Khusus bagi kawasan Sri Aman yang IPU melebihi 300, pemandu diingatkan untuk memasang lampu kenderaan ketika memandu, kata kenyataan itu.

Sumber : HM Online

Leave a Reply