Input your search keywords and press Enter.

Harimau Kumbang Pula Muncul Di Dungun

M Update, 17/9/2019 – JIKA dua bulan lalu, rakyat Malaysia digemparkan dengan kemunculan dua harimau spesies Malaya di Kampung Besul Lama dekat Bukit Besi di Dungun, kini harimau kumbang pula dilihat berlegar-legar tidak jauh dari kawasan yang sama.

Harimau kumbang terbabit ditemui berkeliaran di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kampung Besul Lama, sejak dua minggu lalu. Seorang penduduk, Nur Mazila Mohd Salleh, 37, berkata, kejadian terbaharu berlaku malam semalam yang mana dia melihat sendiri seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar rumahnya, di blok H taman perumahan itu.

Ini kali ketiga saya melihat haiwan itu dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, namun ada jiran mendakwa sudah melihat harimau itu berkeliaran sejak sebulan lalu. Kami memang hidup dalam ketakutan dan anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain seperti biasa. Kami berharap harimau ini dapat ditangkap secepat mungkin agar kami boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malik Mohd Yusuf berkata pihaknya sudah menerima aduan penduduk dan beberapa kakitangan telah pergi ke lokasi tersebut untuk memasang perangkap. Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar terus berhati-hati dan segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan itu untuk memudahkan tindakan dibuat.

Untuk rekod, pada 19 Julai lalu, seekor harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130 kilogram berjaya ditangkap kira-kira 3.30 petang selepas ditembak menggunakan ubat pelali. Haiwan yang dianggarkan berusia lima tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500 meter dari jalan utama Kampung Besul Lama. Bagaimanapun, harimau berkenaan dilaporkan mati pada 23 Julai lalu ketika berada dalam rawatan dan kuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak. – Bernama

Leave a Reply