M Update, 25/9/2019 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah baharu dalam usaha membangunkan negara dengan melancarkan buku Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia di sini semalam.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kelolaan KPKT terutamanya di kawasan bandar boleh menggunakan buku itu sebagai panduan untuk membangunkan kawasan masing-masing.
“Saya amat berharap lebih banyak PBT akan ambil langkah lebih progresif dalam meningkatkan perhubungan, komunikasi dan keberkesanan infrastruktur untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.
KPKT sangat komited dalam memastikan kerajaan tempatan turut mengambil bahagian dalam membangunkan negara dan memajukan kawasan mereka juga,” katanya. Bandar Pintar merupakan sebuah bandar yang menggunakan teknologi terkini dan digital dalam usaha menangani masalah lazim di bandar-bandar antaranya seperti kesesakan lalu lintas, pencemaran, ancaman keselamatan penduduk dan bencana alam.
Konsep tersebut dibawa ke negara ini untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar dan buat masa ini, lima lokasi menjadi projek pilot iaitu Kulim, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
“Kita harap pada satu masa nanti semua bandar-bandar di Malaysia akan menjadi Bandar Pintar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, kementerian menghasilkan buku tersebut bagi memberi panduan untuk PBT menyelesaikan masalah infrastruktur yang berlaku di kawasannya.
“Sebagai permulaan, kita telah kenal pasti lima PBT yang boleh dijadikan sebagai projek pilot dengan inisiatif masing-masing. Contohnya Kuching, mereka akan laksanakan sistem lampu isyarat pintar. Ia bagi mengelakkan kesesakan dan ada juga fungsi lain. Kita ambil contoh negara maju, mereka ada sistem jauh lebih baik daripada kita yang boleh dicontohi,” katanya.
Mohammad berkata, dengan perkembangan terbaru itu, beliau berharap KPKT dapat memperluaskan lagi projek tersebut dengan inisiatif dan inovasi berbeza dapat dilaksanakan di bandar-bandar berlainan. Selain mengoptimumkan penggunaan teknologi, Bandar Pintar Malaysia juga tidak lupa untuk menekankan aspek penjagaan alam sekitar.
Sebagai contoh, bagaimana untuk mengoptimumkan rangka kerja Bandar Pintar di mana ada sistem yang dibangunkan untuk meningkatkan kualiti dari segi kutipan sampah. Kita dapat lihat adanya penyelesaian berdasarkan daripada sistem berkenaan. Ini antara contoh-contoh bagaimana teknologi Bandar Pintar mampu memudahkan hidup masyarakat,” katanya.
Menurutnya, Bandar Pintar Malaysia juga merangkumi tujuh komponen utama iaitu Ekonomi Pintar, Kehidupan Pintar, Persekitaran Pintar, Masyarakat Pintar, Kerajaan Pintar, Pengangkutan Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar. – SH Online