Input your search keywords and press Enter.

Suspek Kes Tembak Rakyat Malaysia Ditangkap Malam Tadi

Foto: Sinar Harian

M Update, 03/11/2025 – Suspek yang dipercayai menembak mati rakyat Malaysia Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, di sebuah rumah di Golok, Thailand, petang kelmarin sudah ditahan pihak berkuasa Thailand.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan malam tadi selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Sungai Golok.

Sumber pasukan keselamatan berkata, semakan pihaknya mendapati suspek mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia.

Semalam media melaporkan, rakyat Malaysia yang juga peniaga beg dan batu permata maut selepas dipercayai ditembak 18 das oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok jam 9 malam.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham Mohd Fuad Fahmie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, pada jam 2.30 petang Ahad, dengan dihadiri ahli keluarga termasuk ibunya, Zaiton Abdul Rahman, 64.

Bekas pemain Kelantan FA tahun 2019 disahkan sebagai salah seorang suspek yang terlibat dalam kes tembakan ini. Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi pada Ahad.

Pada tahun 2019, suspek yang beraksi di posisi penjaga gol pernah bermain bersama Kelantan FA.

Berkaitan motif kejadian, Mohd Yusoff menyerahkan kepada pihak polis Thailand untuk menjalankan siasatan. – Harian Metro