Input your search keywords and press Enter.

KSN : Urusan Bersemuka Agensi Kerajaan Masih Relevan

M Update, 26/9/2019 – Penyampaian perkhidmatan kerajaan secara bersemuka masih relevan walaupun negara hari ini menuju ke arah era digital.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata perkhidmatan bersemuka penting untuk pelanggan memahami lebih lanjut proses sesuatu perkhidmatan, misalnya siapa yang memberi kelulusan atau kementerian mana.

“Namun di sebalik itu, perkhidmatan kerajaan haruslah mesra perniagaan seperti mana dibangkitkan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) apabila beliau menyebut ‘mesra perniagaan’ masih kurang dalam urusan kerajaan.

“Jadi dengan adanya Hari Terbuka Putrajaya, kita bukan setakat berkongsi dengan orang awam untuk mereka memahami proses sesuatu perkhidmatan tetapi pada masa sama boleh mengeratkan silaturrahim antara kerajaan dan pemegang taruh. Justeru, perkara itu perlu diperbaiki supaya sektor swasta dapat menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka yang mana akhirnya apabila mereka maju kita juga maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Hari Terbuka Putrajaya, Karnival Putrajaya dan Pameran dan Persidangan Putrajaya Digital (DiPEC) 2019 semalam. Hari Terbuka Putrajaya adalah program julung kali anjuran bersama Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Perbadanan Putrajaya (PPj), bertujuan memberi peluang kepada semua kementerian dan agensi kerajaan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat secara serentak.

Dianjurkan pada Sabtu, 5 Oktober ini, 23 kementerian dan lebih 90 agensi kerajaan akan beroperasi secara serentak di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini dan menawarkan perkhidmatan di premis masing-masing bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Antara perkhidmatan yang akan ditawarkan sempena Hari Terbuka Putrajaya termasuk pameran di setiap agensi kerajaan, diskaun saman trafik, pemasangan Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) secara percuma, karnival kerjaya, semakan wang tidak dituntut, urusan pencen dan gimnasium percuma.

Sementara itu, Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata pihaknya menjangkakan seramai 50,000 pengunjung akan memeriahkan tiga program berkenaan. Terdapat lebih 2,000 tempat letak kereta yang disediakan selain PPj menyediakan 6 bas percuma dari Putrajaya Sentral ke kementerian yang terbabit. Untuk maklumat lanjut boleh layari https://pod.putrajaya.my,” katanya.

Leave a Reply