Input your search keywords and press Enter.

UA : KPM Perkenal Dua Kursus Wajib

M Update, 26/9/2019 – Dua kursus wajib baharu diperkenalkan di universiti awam (UA) bermula sesi pengambilan 2019/2020, selaras hala tuju pendidikan berteraskan nilai, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata dua kursus berkenaan, iaitu Falsafah dan Isu Semasa serta Penghayatan Etika dan Peradaban wajib diambil oleh mahasiswa dalam tempoh pengajian mereka. Kursus itu wajib diduduki dan diklasifikasikan sebagai prasyarat untuk menamatkan pengajian.

“Kekuatan sesebuah negara terletak kepada pemikiran rakyatnya, justeru ia juga penentu hala tuju negara, baik dari segi pembangunan, ekonomi dan politiknya. Untuk membina pemikiran yang kritis, kreatif, inovatif, sihat serta matang, kita perlukan pendidikan.

“Pendidikan ialah wahana paling penting untuk menentukan pemikiran rakyat yang ingin kita bentuk suatu hari nanti,” katanya dalam kiriman di Facebook.

Beliau berkata, pendidikan sivik tidak boleh terhenti setakat di sekolah, sebaliknya subjek yang membangunkan peribadi itu harus berterusan sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Ramai beranggapan falsafah ialah pengetahuan yang berat dan meletihkan, namun ia sebenarnya ilmu berfikir sehingga menitipkan pengajaran mengatur langkah seterusnya dalam membina tamadun.

Selain itu, katanya, falsafah menjurus kepada menganalisis, mencari kebenaran dan merancang penyelesaian, seiring matlamat kerajaan untuk memastikan mahasiswa negara ini mempunyai aras pemikiran tinggi, selain peribadi mulia serta sentiasa cuba menyelesaikan masalah masyarakat. – BH Online

Leave a Reply