Input your search keywords and press Enter.

Program MADANI Rakyat Zon Tengah Bermula Hari Ini

M Update, 23/02/2024 – Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor, telah bermula hari ini 23 hingga 25 Februari 2024 dengan pelbagai acara menarik menanti pengunjung.

Program tiga hari inii adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.

Penganjuran program yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu menawarkan pelbagai acara dan perkhidmatan kepada pengunjung sekali gus menjadi platform terbaik untuk menyebar luas dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Antaranya, kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan perkhidmatan Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian atau perdagangan, selain penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal setiap hari.

Turut disediakan ialah Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI, pameran aset kerajaan, perkhidmatan bergerak seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian, kempen derma darah, perkhidmatan kitar semula, perkhidmatan urutan terapi dan kosmetologi.